Pengurus Arsenal, Mikel Arteta. FOTO Agensi
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta. FOTO Agensi
AFP

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mengakui pemainnya perlu mencari motivasi tanpa pertolongan penyokong apabila Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung awal pagi Khamis ini.

Skuad bimbingan Arteta akan beraksi pada perlawanan kedua Liga Perdana yang disambung semula apabila berdepan Manchester City di Stadium Etihad, hanya sejam selepas perlawanan pembukaan antara Aston Villa dan Sheffield United.

Baki 92 perlawanan liga utama itu akan berlangsung secara tertutup kerana pandemik Covid-19.

Selepas menyaksikan Bundesliga Jerman kembali tanpa penyokong di televisyen sebelum mengalami sendiri perkara itu ketika perlawanan persahabatan minggu lalu, Arteta sedar cabaran yang bakal dihadapinya.

Dia percaya ia akan menjadi sukar buat sebahagian pemain untuk mempamerkan kesungguhan kerana mereka tidak mendapat tenaga daripada stadium dipenuhi penonton.

"Apabila saya berada di Emirates dan tiada penyokong, anda tidak rasa tenaga itu, cuba mengasak atau memandu anda," kata Arteta kepada wartawan dalam sidang video.

"Perlawanan menjadi berbeza. Ketegangannya sedikit menurun. Sokongan daripada penonton sudah tidak ada lagi, untuk melihat bagaimana ghairahnya penyokong di England. Kami perlu menyesuaikan diri.

"Kami sudah merasainya. Kami perlu cari jalan untuk memberi motivasi kepada pemain kami dalam keadaan itu."

Seperti kebanyakan pengurus, Arteta bimbang mengenai kecergasan pemainnya ketika mereka dipaksa berusaha sendirian sebelum kembali berlatih secara tersusun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 10:06 AM