LEE Zii Jia (kanan) kembali berlatih di gelanggang.
LEE Zii Jia (kanan) kembali berlatih di gelanggang.
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Barisan pemain badminton negara yang berada dalam program Road to Tokyo (RTT) pastinya lega dapat kembali ke gelanggang latihan dan kini berada dalam fasa pemulihan.

Namun untuk semua pemain kembali ke prestasi terbaik sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, tempoh sebulan yang diberikan kerajaan sudah cukup buat pemain kembali mendapatkan rentak terbaik mereka.

Katanya, semuanya berjalan mengikut apa yang dirancangkan termasuk proses pemulihan otot dengan sesi latihan di gimnasium sudah dilakukan sebanyak dua kali.

"Buat masa ini belum ada lagi peningkatan mutu permainan kerana atlet baru memasuki fasa pemulihan. Peningkatan itu mungkin dapat dilihat dua minggu lagi.

"Semua pemain pula mengatakan mereka lega dan bersemangat dapat kembali berlatih di atas gelanggang begitupun pada masa sama ada juga rasa kurang selesa kerana sudah lama tidak berlatih.

"Tapi, itu perkara biasa dan saya lihat pemain sudah mendapatkan balik sentuhan pukulan namun intensiti belum cukup baik lagi," katanya.

Terdahulu semua atlet yang berkampung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sudah melalui sesi ujian calitan atau 'swab' ketiga, kelmarin.

Mereka kini tidak berdepan masalah untuk terus menjalani latihan bagi tempoh dua minggu lagi sebelum kem latihan berkonsepkan kuarantin itu tamat 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:00 AM