GATTUSO (kiri) dan pemainnya meraikan kejayaan menumpskan Juventus dalam perlawanan akhir Piala Itali awal pagi tadi. FOTO AFP
GATTUSO (kiri) dan pemainnya meraikan kejayaan menumpskan Juventus dalam perlawanan akhir Piala Itali awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

GENNARO Gattuso berterima kasih 'Tuhan Bola Sepak' selepas beliau merangkul trofi sulung dalam karier kejurulatihan apabila Napoli menumpaskan Juventus 4-2 menerusi penentuan penalti untuk muncul juara Piala Itali buat kali keenam awal pagi tadi.

Perlawanan akhir itu terikat 0-0 dalam aksi sebenar di Stadium Olimpico di Rome.

Paulo Dybala dan Danilo kedua-keduanya gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus gagal membantu Juventus meraih kejuaraan Piala Itali buat kali ke-13, manakala wira Napoli ialah Arkadiusz Milik yang menjaringkan gol kemenangan menumpaskan penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon.

Ia adalah trofi pertama buat kelab dari Selatan itu sejak 2014 dan trofi pertama Gattuso, yang menggantikan Carlo Ancelotti Disember lalu.

Bagi bekas pemain yang pernah membantu Itali menjulang trofi Piala Dunia kejayaan pertama dalam bidang kejurulatihan hadir selepas kematian adiknya, Francesca, 37 akibat penyakit pelik.

"Dalam kehidupan anda tidak dapat menerima semua benda tapi bola sepak memberikan saya segalanya dan menaikkan semangat saya.

"Saya rasa mempunyai tanggungjawab besar. Saya tahu saya tidak boleh menyerah kalah dan saya juga tidak pernah melakukan seperti itu dalam karier sebagai pemain.

"Saya lihat pasukan saya memang mahukan kemenangan dan kami memang berhak. Ada 'Tuhan Bola Sepak' yang memberikan kejayaan selepas sudah berusaha.

"Saya bangga dengan apa yang dilakukan oleh anak buah saya. Sekarang kami harus meneruskan semangat ini untuk menampung segala kekurangan," kata bekas legenda AC Milan berusia 42 tahun itu.

Napoli mengalami perubahan di bawah bimbingan Gattuso dan sekarang berada di tangga keenam liga tatkala mereka meletakkan sasaran untuk meraih slot Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 9:09 AM