X
PEMAIN Barcelona lebih selesa beraksi di Nou Camp berdepan Napoli. FOTO AFP
PEMAIN Barcelona lebih selesa beraksi di Nou Camp berdepan Napoli. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Barcelona, Quique Setien berkata, ia tidak adil buat pasukannya untuk beraksi perlawanan kedua Liga Juara-Juara menentang Napoli di stadium berkecuali bukannya di Nou Camp.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan kelmarin saingan lapan terakhir kalah mati Liga Juara-Juara akan diadakan di Lisbon Ogos depan namun ia masih belum ada keputusan bagaimana untuk menyelesaikan baki empat perlawanan 16 akhir.

Barca seri 1-1 dalam aksi pertama di gelanggang lawan Februari lalu sebelum krisis Covid-19 yang menghalang mereka untuk menyambung aksi timbal balik di gelanggang sendiri.

Salah satu penyelesaian yang mungkin dilakukan ialah mengadakan perlawanan kedua di gelanggang berkecuali namun Setien merasakan ia akan memberi kelebihan kepada Napoli.

"Perlawanan itu sepatutnya diadakan di stadium kami, jika tidak ia memberi kelebihan kepada Napoli, yang sebelum ini beraksi di gelanggang sendiri dan mendapat sokongan peminat.

"Ia berbeza jika kami bermain di gelanggang berkecuali dan selepas itu diadakan tanpa kehadiran penonton," kata Setien dalam sidang media semalam.

Ketika penyambungan saingan Liga Juara-Juara masih lagi mempunyai tempoh dua bulan, Barcelona juga sedang bergelut bagi perebutan saingan domestik.

Mereka hanya mempunyai kelebihan lima mata mengatasi Real Madrid.

Barca selepas ini akan berdepan dengan pasukan tangga ketiga, Sevilla awal pagi esok dan selepas itu akan mengharungi aksi mencabar menentang Athletic Bilbao, Atletico Madrid dan Villarreal.

"Kami akan berdepan pasukan di tangga ketiga dan ia akan memberi kesukaran buat kami. Kami harus beraksi pada tahap luar biasa," kata Setien.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 12:28 PM