AIDIL akui permulaan latihan ini sangat baik, bukan sahaja buat dirinya dan JDT, malah juga persediaan bersama skuad kebangsaan. FOTO Ihsan Facebook Johor Southern Tigers
AIDIL akui permulaan latihan ini sangat baik, bukan sahaja buat dirinya dan JDT, malah juga persediaan bersama skuad kebangsaan. FOTO Ihsan Facebook Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


PERTAHANAN Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga tonggak skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengakui gembira apabila dapat turun berlatih buat pertama kali bersama rakan sepasukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Dia dan barisan pemain skuad Harimau Selatan menjalani latihan pertama di pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam, kelmarin selepas mendapat kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Menurut Aidil, permulaan latihan ini sebagai sesuatu yang baik, bukan sahaja buat dirinya dan JDT, malah juga persediaan bersama skuad kebangsaan.

"Latihan pertama saya dengan JDT berjalan dengan lancar walaupun mungkin banyak perkara kita perlu ikuti dengan penuh berhati-hati terutama dari segi penjarakan dan tidak boleh bersentuhan semasa melakukan latihan.

"Tiga bulan selepas tidak dapat berlatih bersama, bagi saya berjumpa dengan kembali rakan sepasukan memang satu menggembirakan tetapi dalam masa sama perlu menjaga batas agar tidak melanggar SOP (Prosedur Operasi Standard).

"Bagi saya, situasi kebenaran berlatih lebih awal ini cukup positif kepada perkembangan liga kita selain skuad kebangsaan kerana ia akan membantu jurulatih mendapatkan pemain yang cergas bagi hadapi aksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Jelasnya lagi, dia menyeru semua pemain dan pasukan untuk sama-sama mematuhi SOP yang ditetapkan pada latihan fasa 1 sepertimana diarahkan oleh MFL.

Baginya, tiada cara lain jika mahu mengharapkan latihan penuh dapat dijalankan dalam masa terdekat kecuali semua pihak tidak melanggar SOP terutama mengekalkan corak latihan yang tidak mengamalkan body contact selain berdisiplin di gelanggang latihan.

"Saya mengharapkan kita mampu ikuti segala arahan diberikan demi kebaikan bersama kerana kita tidak mahu selepas ini berlaku benda-benda yang tidak diingini seperti penularan virus Covid-19 dalam kalangan pemain.

"Ini tanggungjawab kita bersama bagi mengikuti SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19 selain menjaga kepentingan liga kita.

"Dalam masa sama, saya bersetuju juga jika kita sama-sama kekalkan disiplin dengan ikuti semua SOP, kita boleh sama-sama memastikan latihan secara penuh dapat dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

Ini kerana proses kepada fasa 2 iaitu latihan secara 'body contact' akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 tanpa 'body contact'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:32 PM