KEANE panas hati melihat aksi pemain United.  FOTO Agensi
KEANE panas hati melihat aksi pemain United. FOTO Agensi
Agensi

UMUM mengetahui Roy Keane seorang pemain yang mempunyai semangat yang tinggi ketika bersama bekas kelabnya, Manchester United dan sentiasa bermain bermati-matian untuk menumpaskan pasukan lawan.

Selain terkenal dengan sikap panas baran dan daya kepimpinan tinggi, Keane juga ditakuti semua pemain dengan perangai mulut lepasnya.

Awal pagi tadi ketika rehat separuh masa antara United dan Tottenham Hotspur, Keane melontarkan pandangan pelbagai sudut terutama mengenai kerapuhan benteng bekas kelabnya itu.

Antara yang menjadi kecaman Keane ketika beliau kembali mengulas bersama Sky Sports ialah penjaga gol, David De Gea, Harry Maguire dan Luke Shaw.

Beliau mempersoalkan sumbangan Shaw, Maguire dan De Gea pada aksi separuh masa pertama sehingga menyebabkan pasukan lawan memperoleh gol pendahuluan melalui Steven Bergwijn.

De Gea dan Maguire gagal untuk menghalang Bergwijn daripada menjaringkan gol pada minit ke-27 dan mengakui kedua-dua pemain itu mendatangkan kemarahan.

"Saya terkejut dengan jaringan berkenaan. Saya menyaksikan banyak perlawanan sebelum dan tidak percaya mereka melepaskan gol sebegitu.

"Saya tidak percaya Shaw menanduk bola ke udara dan berlari ke depan. Saya pening lihat Maguire. Pening kerana pemain antarabangsa boleh melakukan tindakan sedemikian dan saya boleh mati sakit jantung melihat penjaga gol.

"Saya akan mendenda dia pada rehat separuh masa, tidak boleh terlepas dengan kesalahan seperti itu, Kalau boleh saya mahu menghayun tumbukan ke arahnya. Macam ini gaya penjaga gol antarabangsa?.

"Maguire dan De Gea? Saya tidak akan membenarkan mereka naik bas selepas tamat perlawanan. Pergi ambil teksi balik Manchester. Buat kerja anda. Kita sekarang sedang cuba untuk mencari kedudukan empat terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 3:09 PM