PULISIC (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan, Giroud di Villa Park awal pagi tad. FOTO AFP
PULISIC (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan, Giroud di Villa Park awal pagi tad. FOTO AFP
AFP

FRANK Lampard percaya Christian Pulisic mampu menjadi watak penting buat Chelsea yang dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas pemain itu berjaya memberi impak di atas kemenangan 2-1 ketika berdepan Aston Villa.

Pasukan bimbingan Lampard tersentak apabila Kortney Hause meletakkan Villa di depan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Pulisic yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol penyamaan sebelum Olivier Giroud meledak jaringan keempat musim ini dua minit kemudian.

Kebangkitan segera Chelsea membolehkan mereka menduduki tangga keempat, lima mata mengatasi Manchester United yang berada di tempat kelima dengan kedua-duanya bersaing untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan pertama di tempat lawan untuk tahun 2020 sangat bertepatan sekali buat Chelsea yang kembali beraksi perlawanan pertama selepas Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan akibat Covid-19.

Ia adalah penampilan pertama Pulisic sejak Januari selepas mengalami kecederaan otot dan Lampard merasakan pemain sayap Amerika Syarikat itu sudah bersedia untuk memberi impak sekali lagi.

"Dia akan diletakkan dalam kesebelasan utama dan saya rasa dia akan menjadi pemain penting buat kami, bukan hanya setakat perlawanan hari ini tapi pada masa akan datang.

"Kemampuannya yang dimilikinya untuk berada dalam petak penalti, adalah sangat luar biasa, saya bercakap mengenai perkara itu kepadanya sepanjang musim.

"Saya rasa Christian mampu melakukannya, jadi saya sangat gembira dengannya, impak yang diberikan apabila di bawa masuk," kata Lampard.

Kekalahan Villa untuk mempertahankan gol pendahuluan menyaksikan pasukan bimbingan Dean Smith berada di kedudukan kedua terbawah liga, satu mata untuk keluar dari zon selamat.

"Malang sekali kelebihan dari segi kualiti dan nasib menyebelahi mereka. Apa yanga kami usahakan ketika rehat adalah yang paling sukar untuk dikalahkan dan kami menjadi seperti itu," kata Smith.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 8:53 AM