DIMITROV sudah berasa kurang sihat ketika kalah kepada Coric kelmarin. FOTO AFP
DIMITROV sudah berasa kurang sihat ketika kalah kepada Coric kelmarin. FOTO AFP
AFP

GRIGOR Dimitrov mengakui bahawa dia diuji positif Covid-19 selepas menarik diri dari kejohanan pertunjukkan yang juga menampilkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

"Saya ingin memberitahu kepada peminat dan kawan-kawan saya bahawa saya diuji positif ketika pulang ke Monaco.

"Saya minta maaf di atas sebarang kesulitan yang sudah saya lakukan. Saya sekarang ini sudah pulang ke rumah dan berusaha memulihkan diri," kata pemain nombor 19 dunia itu di media sosial, Instagram.

Hujung minggu lalu, Dimitrov, 29, mengambil bahagian di Jelajah Adria di Belgrade bersama Djokovic, pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem dan Alexander Zverev.

Dia juga beraksi di peringkat kedua di kejohanan Balkan di Zadar, Croatia kelmarin.

Bagaimanapun, dia menarik diri sebaik tumpas kepada Borna Coric, selepas memberitahu berasa kurang sihat.

Semalam, perlawanan akhir di angtara Djokovic dan pemain Russia, Andrey Rublev terpaksa dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini adalah keputusan terbaik. Kami harus menjaga keselamatan semua yang terbabit. Mereka yang mempunyai kontak dengan Grigor akan diuji. Kami sedang menunggu arahan dari pihak berwajib," kata bekas juara Wimbledon, Goran Ivanisevic yang juga pengarah kejohanan di Zadar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 9:30 AM