Kalonda (kiri) menarik perhatian Cheng Hoe
Kalonda (kiri) menarik perhatian Cheng Hoe
Oleh Firdaus Hashim


KEINGINAN tinggi calon pemain warisan dari Republik Congo, Marcel Kalonda untuk membarisi skuad Harimau Malaya cukup membuak-buak apabila dia sudah melengkapkan baki dokumen yang tersangkut sebelum ini.

Kalonda, 22, yang beraksi di posisi pertahanan tengah dijangka akan tiba di Malaysia tidak lama bagi menjalani ujian pemilihan bersama jawatankuasa teknikal yang akan menilai kemampuan dan kualiti di miliki pemain warisan negara itu.

Begitupun kehadirannya bergantung kepada pengesahan dokumen yang diserahkan olehnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan sijil kelahiran dia dan datuknya, sijil perkahwinan ibu bapa, pasport dan surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo.

"Saya dah serahkan semua dokumen yang dikehendaki oleh FAM. Sekarang saya hanya menunggu pengesahan dan kelulusan sebelum datang ke Malaysia.

"Saya memang berhasrat untuk bermain untuk Malaysia. Saya percaya sudah bersedia dan akan beri aksi terbaik dalam sesi ujian dan pasukan Malaysia kelak," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan Kalonda sudah menghantar dokumen rasmi berhubung latar belakang dirinya selepas tempoh dua minggu berakhir hujung bulan lalu.

Menurut Yusoff, Kalonda yang kini beraksi dengan kelab ZESCO United dalam Liga Zambia sudah mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membuktikan dirinya mempunyai hubungan dengan negara ini.

Bagaimanapun, Kalonda diberi tempoh lanjutan dua minggu lagi bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan FAM untuk didaftarkan sebagai pemain warisan.

Kalonda yang mendakwa datuknya berasal dari Sabah dijangka tidak berdepan masalah untuk mengikut jejak beberapa tonggak warisan lain menyarung jersi Harimau Malaya seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Corbin Ong dan lain-lain.

Malah, pengendali kebangsaan Tan Cheng Hoe sendiri juga sebelum ini terpikat dengan aksi mantap Kalonda dan percaya kehadirannya mampu memperkuatkan benteng pasukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 8:33 PM