Borna Coric. FOTO File AFP
Borna Coric. FOTO File AFP
AFP

BORNA Coric mengumumkan hari ini dia menjadi pemain kedua disahkan positif Covid-19 selepas bermain dalam satu perlawanan pertunjukan di Croatia yang turut disertai pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

"Hai semua, saya mahu memaklumkan anda semua yang saya didapati positif Covid-19," kata pemain Croatia yang berada dalam ranking 33 dunia menerusi ciapan di Twitter.

Ia susulan pada Ahad lalu pengumuman oleh Grigor Dimitrov yang memaklumkan dia dijangkiti Covid-19 selepas menarik diri daripada perlawanan pertunjukan.

Perlawanan itu adalah antara terbesar sejak musim tenis ditangguhkan kerana pandemik.

Coric mencatat menerusi twitter : "Saya mahu memastikan semua orang yang mempunyai kontak dengan saya sejak beberapa hari lalu melakukan ujian saringan!

"Saya mohon maaf di atas sebarang kesulitan. Saya dalam keadaan baik dan tidak mempunyai simptom. Jaga diri dan kesihatan. Sayang anda semua."

Coric menewaskan pemain Bulgaria, Dimitrov dalam aksi pusingan kedua Jelajah Adria di Zadar, Sabtu lalu.

Dimitrov selepas perlawanan itu mengumumkan menarik diri daripada kejohanan Balkans itu dengan dia mengadu tidak sihat dan sehari kemudian memaklumkan dia positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 9:41 PM