SHAKIR mengadakan latihan bersama pasukan Kedah mengikut SOP yang ditetapkan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Kedah
SHAKIR mengadakan latihan bersama pasukan Kedah mengikut SOP yang ditetapkan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Kedah
Izzali Ismail


PEMAIN pertahanan Kedah, Shakir Hamzah berazam mahu mencapai tahap terbaik dalam prestasinya selepas Kedah memulakan latihan fasa satu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan kepada (PKPP), bermula Rabu lalu.

Pemain kelahiran Singapura ini berkata, sudah tiba masanya untuk dia kembali bekerja keras dalam tempoh bulan pertama latihan dan sangat penting untuk seorang pemain mengembalikan semula stamina serta kecegasan yang terbaik.

"Saya rasa gembira selepas sekian lama iaitu tiga bulan tidak mengadakan latihan di padang dan sekarang tiba masanya untuk saya dan rakan sepasukan bersama-sama bekerja keras dalam latihan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengembalikan tahap kecergasan.

"Tempoh sebulan pertama memulakan latihan ini akan menjadi 'tempoh sukar' buat kami untuk mempersiapkan diri, namun sebagai pemain profesional kami perlu bersedia menghadapi perancangan mengikut modul latihan yang diaturkan ini.

"Bola sepak adalah 'kehidupan' dan masa depan buat saya dan untuk memastikan kejayaan sebagai pemain profesional, saya perlu kembali bekerja keras bermula dari sekarang kerana jika tanpa fokus berkenaan, saya tidak mungkin dapat mencapai apa yang saya cita-citakan. katanya.

Shakir yang tetap berada bersama keluarganya di Kedah sepanjang tempoh PKP bemula sejak 18 Mac lalu mengakui agak sukar baginya untuk kembali semula ke Malaysia jika dia pulang ke Singapura sebelum tempoh PKP.

"Sebelum ini kita juga tidak pasti tarikh akan dibenarkan berlatih, jadi saya memilih untuk berada di Kedah bersama keluarga kerana jika saya pulang ke Singapura saya harus menjalani kuarantin selama dua minggu apabila memasuki semula ke Malaysia.

"Sudah lapan bulan saya tidak pulang ke Singapura, memang saya merindui seluruh keluarga namun apa boleh buat, inilah kehidupan pemain bola sepak dan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan ini disamping keluarga saya juga memberi sokongan sepanjang masa." tambahnya.

Shakir yang mengisi kuota import Asia Tenggara, dalam masa yang sama bersyukur Kedah mendapat kelulusan dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk kembali berlatih dan meluahkan rasa gembira melihat semua rakan sepasukannya mengekalkan kesihatan yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 2:59 PM