X
JENTERA Mercedes yang akan digunakan dalam perlumbaan sulung F1 hujung minggu ini. FOTO Agensi
JENTERA Mercedes yang akan digunakan dalam perlumbaan sulung F1 hujung minggu ini. FOTO Agensi
AFP

MERCEDES mengumumkan hari ini mereka akan menggunakan jentera berwarna hitam pekat untuk saingan Formula Satu (F1) 2020 sebagai memberi sokongan kepada gerakan #BlackLivesMatter selepas juara dunia enam kali, Lewis Hamilton adalah seorang yang lantang memerangi isu perkauman.

Perlumbaan F1 akan kembali bersambung hujung minggu ini di Austria selepas tiga bulan tertangguh akibat Covid-19.

Sebelum ini pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd ketika dalam tahanan polis di Amerika Syarikat bulan lalu mencetuskan kemarahan gerakan anti perkauman di seluruh dunia.

Hamilton, satu-satunya pelumba kulit hitam dalam saingan F1, akan menubuhkan pertubuhan yang diharap mampu menaikkan minat remaja kulit hitam dalam sukan pemotoran.

Mercedes dalam satu kenyataan menyatakan organisasi mereka hanya mempunyai pekerja golongan minoriti dan memiliki 12 peratus saja pekerja wanita.

"Kekurangan pelbagai kaum ini menunjukkan kita perlu mencari kaedah baru untuk menarik minat mereka yang berbakat dari masyarakat yang sebelum ini kita tidak pernah ada," katanya.

Ketika menyatakan bahawa pasukan itu sangat berbangga dengan 'nilai' dan 'budaya' kenyataan itu juga menyebut pergerakan 'Black Lives Matter' menunjukkan bahawa mereka perlu mencari kaedan dan tindakan baru untuk memerangi sikap perkauman serta diskriminasi.

"Bagi 2020, kami memilih untuk menggunakan jentera hitam pekat sebagai ikrar untuk mempertingkatkan kepelbagaian kaum di dalam pasukan dan ia satu mesej jelas bahawa kami menentang sikap perkauman serta diskriminasi," jelas pasukan berkenaan.

Bos Mercedes, Toto Wolff, mengakui perkauman dan diskriminasi tidak ada tempat dalam masyarakat, sukan serta pasukan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 10:26 PM