Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
Agensi

JURGEN Klopp mengakui Liverpool akan lebih senyap dalam jendela perpindahan kali ini dan pengurus itu berkata dia tidak menjangkakan perkara sebaliknya.

Liverpool menjulang trofi liga pertama sejak 1990 musim ini dan melakar kemenangan dalam 28 daripada 31 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang di dominasi mereka musim ini.

Pada masa sama, The Reds dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain antaranya bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, Kai Haverts (Bayer Leverkusen) dan Thiago Alcantara (Bayern Munich).

Namun Klopp memberitahu ia mungkin akan menjadi jendela perpindahan yang senyap buat Liverpool, dengan pandemik Covid-19 turut memberikan impak ekonomi dalam dunia bola sepak.

"Ia mengenai bagaimana pengaruh krisis Covid-19 akan memainkan peranan dalam kewangan hidup kita.

"Ia bukan hanya bola sepak, kita semua akan rasa kesannya tidak lama lagi." katanya.

"Tiada siapa tahu betapa besar sebenarnya kesan itu. Harap-harap ia akan berakhir tidak lama lagi tetapi kami tidak sepatutnya bersikap sambil lewa bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.

"Kami tidak boleh membelanjakan berjuta-juta kerana kami mahu, atau berfikir bahawa ia baik untuk dilakukan. Kita tidak mahukan itu.

"[Realitinya] Covid-19 memberikan kesan dari luar dan dalam.

"Ia mungkin bukan lagi musim panas yang sibuk di dunia," katanya.

Liverpool berkelebihan 23 mata di tangga teratas Liga Perdana, semusim selepas mereka turut menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Klopp, yang pasukannya akan bertandang ke gelanggang Manchester City awal pagi Jumaat ini, percaya dia mempunyai skuad yang kuat untuk meneruskan cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:25 PM