PULISIC diasak pemain Leicester. FOTO Agensi
PULISIC diasak pemain Leicester. FOTO Agensi
Agensi

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard berkata, tahap kecederaan Christian Pulisic akan dinilai minggu ini selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan Leicester City dalam aksi Piala FA, Ahad lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu berada di kemuncak prestasi sejak bola sepak di England kembali bersaing tetapi dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72 ketika Chelsea menang 1-0 di Stadium King Power.

Pemain gantian, Ross Barkley muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua untuk melayakkan kelab barat London itu ke separuh akhir menentang Manchester United.

Pulisic menjaringkan dua gol untuk Blues sejak dia kembali ke Chelsea dan Lampard mendedahkan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu mengalami kecederaan betis ketika menentang Foxes.

Lampard berkata: "Dia berasakan ketegangan di betis ketika babak kedua, jadi saya membawanya keluar. Kita akan lihat hari ini atau beberapa hari lagi."

Lampard juga mendedahkan mengapa Andreas Christensen tidak beraksi pada Ahad lalu.

Katanya: "Andreas mengalami masalah di bahagian pinggul. Dia berasa tidak selesa ketika latihan sebelum itu, jadi dia tidak bersama skuad."

Chelsea kini bersiap sedia menentang West Ham dalam aksi Liga Perdana di tempat lawan Khamis ini dengan misi meneruskan momentum kemenangan sejak liga kembali bersambung.

Skuad Lampard turut dalam posisi terbaik untuk mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat teratas apabila menduduki tempat keempat dengan lima mata mengatasi Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 8:30 PM