NORZA mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia, hari ini. FOTO Bernama
NORZA mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia, hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


KEPENTINGAN atlet merebut tiket kelayakan ke Olimpik menjadi keutamaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berbanding menganjurkan kejohanan yang mungkin menelan kos perbelanjaan tinggi kesan pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, beliau lebih rela menggunakan wang demi kepentingan pemain dengan menghantar menyertai pertandingan di luar negara selain untuk pembangunan atlet pelapis yang kini berkampung di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Justeru Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April tetapi terpaksa ditunda berikutan penularan Covid-19 tidak lagi menjadi keutamaan buat BAM.

Katanya, BAM memerlukan perbelanjaan mencukupi untuk menghantar pemain menyertai lebih banyak kejohanan tahun depan apabila pertandingan mula dianjurkan nanti.

"Apa yang penting ketika ini adalah kelayakan Olimpik bermula tahun depan dan keduanya adalah Piala Thomas dan Uber.

"Terbuka Malaysia tidak menawarkan mata kelayakan. Penganjuran ketika Covid ini membabitkan kos tinggi dan kos tambahan lain seperti proses menyahkuman, kapasiti stadium selain kita sendiri tidak tahu siapa pemain handalan yang akan hadir.

"Jadi BAM akan mengkaji setiap perkara dengan lebih terperinci lagi sebelum sesuatu keputusan dibuat kerana pengakhirannya kita yang akan menentukan hala tuju diri sendiri," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan skuad badminton negara pada saingan Piala Thomas dan Uber di Denmark Oktober ini, Norza berkata, ketika ini belum ada sebarang keputusan diumumkan oleh penganjur sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

"Kita kini hanya menunggu keputusan daripada Denmark sama ada tarikh penganjuran yang dijadualkan Oktober ini akan diteruskan atau tidak.

"Jika ia tetap diteruskan, perkara ini akan dibawa kepada KBS untuk mendapat persetujuan kerajaan bagi membenarkan atlet menyertai pertandingan luar," katanya.

Terdahulu Denmark mengumumkan penundaan Piala Thomas dan Uber buat kali kedua apabila menetapkan 3 hingga 11 Oktober sebagai tarikh baharu.

Sebelum ini, kejohanan membabitkan saingan berpasukan lelaki dan wanita itu dijadualkan berlangsung di Aarhus Mei lalu sebelum ditangguhkan tiga bulan.

Seluruh England menjadi kejohanan besar terakhir yang sempat dianjurkan sebelum penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia menyaksikan semua cara sukan ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 9:12 PM