LUQMAN belum membuat keputusan muktamad menyertai KV Kortrijk.
LUQMAN belum membuat keputusan muktamad menyertai KV Kortrijk.
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menegaskan penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin masih memiliki kontrak yang sah bersama skuad Red Giants sekali gus menafikan dakwaan bahawa Luqman kini milik kelab Belgium, KV Kortrijk.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Luqman masih belum memutuskan tentang masa depannya sama ada mahu terus kekal di Selangor atau memilih Eropah sebagai destinasi terbaharu.

Katanya, dakwaan pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan yang juga ahli perniagaan terkemuka negara adalah tidak tepat kerana pemain skuad bawah 19 (B-19) tahun negara itu masih belum memberi jawapan kepada FAS.

"Belum lagi ada dokumen rasmi yang ditandatangani. Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami (jawapan dan persetujuan syarat oleh FAS) dengan apa yang dia persetujui," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Shahril mengulangi bahawa prinsip FAS tetap sama iaitu tidak akan menyekat kehendak Luqman sekiranya dia berhasrat untuk menyertai KV Kortrijk.

Jelasnya, FAS sentiasa menyokong perkembangan karier Luqman dan mahu memberikan yang terbaik buat penyerang masa depan negara itu.

Malah katanya, perbincangan antara FAS dan KV Kortrijk yang berlangsung sebelum ini menampakkan perkara positif dan impian untuk melihat penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 pada 2018 lalu itu beraksi di Eropah semakin hampir.

Namun, segala-galanya terletak di tangan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang masih memerlukan masa sebelum memuktamatkan tentang hala tujunya.

"Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 9:31 PM