PENGURUS West, David Moyes bersalam bersama pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
PENGURUS West, David Moyes bersalam bersama pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

FRANK Lampard berkata kekalahan mengejut 2-3 kepada pasukan sedang bergelut, West Ham hari ini menunjukkan betapa banyak lagi yang perlu dilakukannya untuk menjadikan Blues sebagai pasukan pencabar sekali lagi.

Chelsea berada di landasan tepat untuk menyambar kedudukan ketiga Liga Perdana selepas jaringan penalti Willian meletakkan kelab itu di depan pada separuh masa pertama di Stadium London.

Namun pelawat dikejutkan dengan gol penyamaan Tomas Soucek pada masa kecederaan babak pertama berpunca daripada sepakan penjuru.

Michail Antonio kemudian meletakkan West Ham di depan pada awal separuh masa kedua sebelum sepakan percuma Willian memastikan Chelsea berjaya menyamakan kedudukan.

Menerusi satu serangan balas, Andriy Yarmolenko berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk tuan rumah sekali gus mengelak West Ham daripada berada di zon penyingkiran.

Kekalahan kali ke-10 pada musim ini menyaksikan Chelsea hanya mempunyai kelebihan dua mata berbanding Manchester United dan Wolves dalam perebutan empat terbaik untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Saya tidak mahu menyatakan ia adalah perkara yang menjadi tumpuan musim ini kerana kami melalui kempen dengan baik. Tetapi sememangnya sudah seringkali kami mengalami kekalahan.

"Pemain perlu menunjukkan mentaliti lebih kuat ketika mereka mendominasi perlawanan," kata Lampard yang menyaksikan kelab bimbingannya itu memenangi tiga perlawanan sebelum ini sejak kembali beraksi selepas bola sepak di England terhenti selama tiga bulan berikutan pandemik Covid-19.

Lampard percaya skuad bimbingannya perlu lebih konsisten berbanding ketika musim pertamanya mengendalikan kelab itu.

"Saya dapat lihat pemain beraksi dengan baik namun pada masa sama saya juga dapat melihat peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan lebih hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 7:17 AM