Mohd Nasihin Nubli
Mohd Nasihin Nubli
BERNAMA

SUDAH tiba masanya buat empat penjaga gol skuad hoki lelaki negara mencipta legasi tersendiri, selepas selama ini berada di bawah bayangan, S Kumar.

Penolong jurulatih skuad 'Speedy Tigers', Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, keempat-empat mereka antara 31 pemain yang sedang mengikuti latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, perlu menunjukkan taring masing-masing.

Mereka ialah Mohammad Hairi Abd Rahman, Adrian Andy Albert, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan Muhamad Zaimi Mat Deris.

"Kumar memang antara penjaga gol yang terbaik dunia tetapi saya mahu penjaga-penjaga gol ini sedar, inilah masanya untuk mereka mencipta legasi.

"Selama ini Kumar telah menolong mereka. Ini masa mereka membuktikan kemampuan masing-masing, bukannya berada di bawah bayangan nama Kumar," kata Mohd Nasihin, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan.

Kumar, 40, yang membuat 321 penampilan untuk Malaysia sejak 1999 mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada 20 Februari lalu selepas skuad hoki negara gagal ke Sukan Olimpik Tokyo.

Beliau kemudian dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad remaja negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:36 PM