X
Jasni Shafie
Jasni Shafie

PERSATUAN Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia yang diraikan hari ini.

Presiden SAM, Jasni Shafie dalam satu kenyataan berkata, wartawan sukan di Malaysia berdepan cabaran sangat besar, lebih-lebih lagi dengan tindakan pengecilan atau penutupan beberapa operasi media di negara ini menyaksikan ada sebahagian daripadanya kehilangan pekerjaan tetap.

"Apapun, kita tetap berbangga dengan sumbangan yang dicurahkan dalam membantu pembangunan sukan negara selain memupuk semangat integrasi di antara kaum di Malaysia.

"Sumbangan wartawan-wartawan sukan juga tidak boleh dinafikan dalam pembangunan sukan negara."

Menurutnya, SAM menghargai ucapan disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican hari ini sebagai meraikan Sambutan Hari Wartawan Sukan Sedunia sekali gus membuktikan keprihatinan beliau kepada golongan wartawan sukan.

Sambutan diraikan di seluruh dunia hari ini sempena memperingati tarikh penubuhan sebuah persatuan yang menaungi pengamal media sukan seluruh dunia, iaitu AIPS (International Sports Press Association) pada tahun 1924 yang kini disertai oleh lebih 156 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 9:18 PM