GELAGAT Ramos selepas menjaringkan gol  menerusi penalti. FOTO AFP
GELAGAT Ramos selepas menjaringkan gol menerusi penalti. FOTO AFP
AFP

REAL Madrid mengorak langkah untuk menjuarai La Liga selepas bergelut menewaskan Getafe awal pagi tadi sekali gus melonjak empat mata mengatasi Barcelona dengan baki lima perlawanan.

Penalti lewat Sergio Ramos memisahkan kedua-dua pasukan di Stadium Alfredo di Stefano yang menyaksikan Real terpaksa bekerja keras sebelum menang 1-0.

Perlawanan itu jelas yang paling sukar buat Real dan dengan kelebihan empat mata ke atas Barca selain rekod perlawanan lebih baik, trofi kejuaraan kini dalam jangkauan mereka.

"Kami belum menang apapun," tegas jurulatih, Zinedine Zidane.

"Ya, kami melakukannya dengan baik tetapi ada baki lima perlawanan lagi. Jika kami teruskan prestasi ini, ia akan lebih bagus."

Ia jurang paling besar dimiliki Real ke atas Barcelona sejak September dan paling selesa di puncak liga musim ini.

Jika mereka mampu menewaskan Athletic Bilbao di San Mames Ahad ini, Real bakal tujuh mata di hadapan Barca yang berdepan tugas sukar menentang Villarreal beberapa jam selepas itu.

"Tugas saya memastikan mereka tenang dalam situasi sukar," kata Zidane. "Senyap, sabar dan positif. Mereka percaya apa yang dilakukan."

Enam kemenangan sejak bermula liga dan hanya melepaskan dua gol membolehkan Real semakin hampir mengesahkan kejuaraan dan Barca hanya menunggu tuah dengan mengharapkan kesilapan musuh tradisi mereka untuk mengintai peluang.

Jaringan Ramos sebelas minit sebelum tamat perlawanan adalah yang kesembilan musim ini, rekod terbaik dalam kariernya.

Dalam perlawanan awal, Real Sociedad kekal dalam misi memburu kelayakan Eropah selepas menang 2-1 ke atas Espanyol di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 9:58 AM