Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


AHLI gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pasrah sekiranya dana khas yang diperuntukkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tidak diagihkan kepada mereka.

Malah, dana bantuan ekoran Covid-19 yang berjumlah AS$1.5 juta (RM6.5 juta) itu adalah hak FAM untuk memberi atau tidak dana berkenaan kepada 20 ahli gabungan yang bernaung di bawah FAM.

Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang kini terjejas teruk dan berisiko jatuh muflis ekoran masalah hutang yang cukup besar turut akur seandainya FAM enggan menyalurkan sedikit bantuan kewangan kepada persatuan itu.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya akur dengan ketetapan FAM sebelum ini yang tidak bercadang untuk berkongsi dana itu terutama dalam soal tunggakan gaji seperti mana yang sedang dilalui skuad The Red Warriors.

"Seperti mana yang sudah dinyatakan oleh FAM, mereka takkan bagi dana berkenaan kepada pasukan-pasukan walaupun sebenarnya kami memang perlukan bantuan.

"Kita akur dan akan berusaha mencari dana sendiri selepas terkesan teruk dengan masalah hutang dan penangguhan liga (Liga Malaysia) disebabkan oleh Covid-19.

"Tapi kalau dapat sikit, ia memang dapat bantulah. Cuma terpulang kepada budi bicara FAM," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pandangan sama dilontarkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) apabila enggan mendesak untuk memohon bantuan itu kerana memahami FAM juga kekeringan sumber untuk menyiapkan pasukan kebangsaan serta membantu melancarkan saingan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dijangka bersambung September ini.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan, ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu, semua pihak terkesan dengan wabak ini termasuk FAM.

"Bukan saja setakat ahli gabungan, malah FAM juga terkesan. Jadi kami ambil langkah tidak mendesak kerana dana itu pun memang hak FAM yang diberikan oleh Fifa.

"Macam kami dah ada penaja serta dah dapat pun duit penajaan Liga Malaysia yang diberikan awal tahun ini. Jadi bagi saya KLFA tak perlu bantuan itu tapi kalau dapat, kami menerimanya," kata Nokman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:51 PM