Gianluigi Buffon. FOTO AFP
Gianluigi Buffon. FOTO AFP
AFP

GIANLUIGI Buffon bersedia menambah pencapaian hebat dalam kariernya apabila Juventus menentang seteru setempat, Torino esok ketika bekas kapten Itali itu dijangka akan mencipta rekod penampilan terbanyak dalam Serie A.

Media Itali melaporkan Buffon akan beraksi di Stadium Allianz menggantikan Wojciech Szczesny dan mencipta rekod baharu liga dengan 648 penampilan.

Ia satu melebihi legenda AC Milan, Paolo Maldini selepas 25 tahun penjaga gol itu melakukan kemunculan pertama bersama Parma dan hampir tepat 19 tahun menyertai Juventus.

Laporan berkenaan hadir selepas Buffon, 42, dan rakan sepasukan, Giorgio Chiellini menandatangani lanjutan kontrak setahun bersama Juve hingga musim depan.

"Sebenarnya saya masih bermain kerana saya rasa bagus, saya kompetitif dan kerana saya tahu saya boleh menjadi lebih baik," kata Buffon dalam temu bual secara langsung di Instagram semalam.

"Apabila anda masih ada ruang untuk meningkat, anda masih ada kemahuan dalam diri yang bermakna anda tidak berpuas hati dengan diri sendiri."

Catatan berkenaan pastinya manis buat Buffon selepas musim mengecewakan di Paris Saint-Germain yang mencetuskan khabar angin dia akan bersara sebelum kembali ke kelab asalnya musim panas lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 10:43 PM