KLOPP (kanan) berkata Liverpool akan mengambil iktibar daripada kekalahan di tangan City. FOTO AFP
KLOPP (kanan) berkata Liverpool akan mengambil iktibar daripada kekalahan di tangan City. FOTO AFP
AFP

JURGEN Klopp berkata Liverpool akan mengambil iktibar daripada kekalahan memalukan 0-4 di tangan Manchester City selepas dinobat juara Liga Perdana.

Reds dilihat tidak mempamer aksi sebenar di Stadium Etihad yang juga perlawanan pertama mereka selepas mengesahkan kejuaraan liga minggu lalu.

Skuad bimbingan Klopp yang akan menanti kunjungan Aston Villa esok, masih mempunyai kelebihan 20 mata berbanding skuad bimbingan Pep Guardiola dan kekal di landasan untuk mengatasi rekod 100 mata yang dilakukan City pada musim 2017/18.

Klopp yang menyaksikan pasukannya hanya tewas tiga perlawanan liga sepanjang dua musim berkata, mereka mempelajari sesuatu daripada kekalahan itu.

"Kami sering mengambil iktibar daripada setiap kekalahan dan jika anda berasakan kami gagal beraksi pada tahap terbaik, kami akan menunjukkan reaksi berbeza pada perlawanan seterusnya.

"Reaksi itu tidak bermakna kami perlu membuat perubahan besar, sebaliknya kami perlu lebih fokus dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan lagi," katanya.

Klopp menambah: "Adakah kami hanya sedar selepas tewas 0-4? Saya tak pasti tetapi ia amat membantu. Kami akan menggunakan segala maklumat daripada perlawanan itu."

Klopp berkata skuad bimbingannya yang kini mengumpul 86 mata, perlu kembali fokus pada baki enam perlawanan lagi.

"Walaupun tewas kepada City, tahap disiplin setiap pemain sangat tinggi dan itulah antara menarik perhatian saya pada perlawanan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 8:30 AM