GREENWOOD meraikan jaringan ketika membantu United menumpaskan Bournemouth 5-2. FOTO AFP
GREENWOOD meraikan jaringan ketika membantu United menumpaskan Bournemouth 5-2. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER United berjaya melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menumpaskan Bournemouth 5-2, manakala Leicester kembali bangkit dengan mengalahkan Crystal Palace 3-0 sebentar tadi.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer bersemangat untuk memburu tempat ke kelayakan Liga Juara-Juara musim depan selepas memberikan persembahan terpuji di Old Trafford.

United berjaya memperoleh jaringan melalui Marcus Rashford, Anthony Martial, Bruno Fernandes, manakala pemain muda, Mason Greenwood pula meledak dua gol, untuk melonjakkan kelab mereka satu mata mengatasi pasukan tangga kelima Chelsea.

Bagaimanapun, United dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat melalui Junior Stanislas pada minit ke-16, manakala satu lagi gol Bournemouth hadir hasil sepakan penalti Joshua King selepas empat minit aksi separuh masa kedua.

Di Stadium King Power, Leicester perlu menunggu lima minit selepas aksi separuh masa kedua bersambung untuk memecah kebuntuan dan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol Palace, Vicente Guaita.

Guaita gagal menangkap kemas hantaran lintang Youri Tielemans, sekali gus membolehkan Kelechi Iheanacho meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

Jamie Vardy pula menjaringkan gol EPL ke-100 pada minit ke-77 dan mengesahkan kemenangan tuan rumah hasil jaringkan kedua di minit akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 12:29 AM