X
LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN
LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: "Mohon doa rakyat Malaysia agar saya berjaya di sana."

Itu permintaan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin selepas dia mengesahkan untuk menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk dan dijangka menandatangani kontrak secara rasmi minggu depan.

Luqman, 18, yang mengikat kontrak dengan Selangor pada Mac lalu berjaya mencapai kata sepakat untuk berhijrah ke Eropah selepas mendapat lampu hijau daripada pengurusan skuad The Red Giants.

Jelas penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara itu, dia amat bersyukur akhirnya impian untuk beraksi di Eropah menjadi kenyataan dan berharap semua rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaannya di bumi Belgium kelak.

Katanya, meskipun berat untuk meninggalkan pasukan Selangor namun demi mengejar cita-citanya dia bertekad untuk memperagakan aksi terbaik sepanjang berada di sana.

"InsyaAllah dengan keizinan Allah, saya akan berhijrah dekat KV Kortrijk dalam masa terdekat ini. Doakan supaya saya berjaya dunia dan akhirat. Tidak lupa juga doakan kepada Selangor supaya dapat layak menang Piala Malaysia," kata penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 lalu itu.

Difahamkan, KV Kortrijk dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sudah menandatangani persefahaman berhubung perpindahan Luqman untuk membolehkan bekas pemain Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu menempa nama selaku anak tempatan pertama beraksi di Liga Jupiler Belgium itu.

Bagaimanapun, majlis rasmi menandatangani pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu hanya akan dilangsungkan minggu depan dengan tawaran kontrak selama lima musim.

Ujar Luqman lagi, dia mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dan barisan pasukan Selangor yang banyak membantunya terutama Presiden FAS iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Saya nak mengucapkan terima kasih kepada Selangor FA dan pihak-pihak atasan...yang paling penting jurulatih dan pemain sebab buat saya gembira selama latihan. Saya bersyukur sangat dapat bermain di Selangor ini dan rasa bangga.

"Takkan lupa juga terima kasih kepada RMS kerana izinkan saya datang ke pasukan Selangor dan saya rasa bersyukur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:01 AM