X
GIROUD (dua kanan) menjaringkan gol pertama Chelsea. FOTO AFP
GIROUD (dua kanan) menjaringkan gol pertama Chelsea. FOTO AFP
AFP

FRANK Lampard berkata Chelsea perlu membiasakan diri menerima tekanan dalam usaha untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas skuad bimbingannya mempunyai kelebihan dua mata di tangga keempat berbanding Manchester United hasil kemenangan 3-0 ke atas Watford 3-0 hari ini.

Selepas tewas 2-3 kepada West Ham minggu lalu, kejayaan United membelasah Bournemouth 5-2 sebelum sepak mula Chelsea dan Watford menyaksikan Blues terkeluar daripada empat tangga teratas.

Namun mereka kembali di tangga keempat selepas Olivier Giroud, Willian dan Ross Barkley masing-masing menyumbang gol manakala Hornets terus bergelut di kelompok bawahan liga.

"Kami berpeluang untuk menduduki tangga ketiga pada perlawanan Rabu ini. Hari ini sememangnya kami berdepan tekanan untuk kembali di tangga keempat.

Inilah tekanan yang harus kami biasakan," katanya.

Selepas tiga kali dibolosi West Ham, Lampard melakukan empat pertukaran dengan Marcos Alonso dan Antonio Rudiger menerima hukuman apabila tidak disenaraikan akibat menjadi punca gol lewat permainan Hammers.

Giroud adalah salah seorang pemain yang membarisi kesebelasan utama dan tonggak berusia 33 tahun itu membuktikan mengapa Lampard melanjutkan kontraknya untuk tempoh setahun lagi ketika pandemik Covid-19.

Pemain antarabangsa Perancis itu meledak gol pertama menerusi rembatan rendah pada minit ke-28.

Willian yang berada dalam bulan terakhir di Stamford Bridge selepas tujuh tahun bersama kelab itu, menjaringkan gol kedua minit ke-43 menerusi sepakan penalti sebelum Barkley melengkapkan kemenangan Chelsea dengan gol ketiga pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 7:52 AM