X
SAINZ ketika beraksi pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix Austria. FOTO AFP
SAINZ ketika beraksi pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix Austria. FOTO AFP
AFP

CARLOS Sainz berpeluang menjadi tumpuan selepas disahkan selaku pemandu Ferrari pada 2021 namun dia tidak akan memikirkannya sehingga berakhirnya pusingan terakhir perlumbaan musim ini.

Pelumba Sepanyol itu bakal menggalas tugas mengisi kekosongan yang ditinggalkan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang akan meninggalkan pasukan berpangkalan dari Itali itu sebaik tamat musim ini.

Sainz yang ketika ini masih menggalas tugas selaku pemandu McLaren menegaskan dia bersedia menghadapi cabaran itu.

"Pastinya satu cabaran untuk menggantikan pemandu berpengalaman dan juara dunia empat kali seperti Vettel.

"Saya rasa dia adalah salah seorang pemandu terbaik di saingan F1 dan dia akan kekal dalam sejarah sebagai antara yang terbaik.

"Vettel kerap menjadi rujukan. Saya membesar ketika zaman gemilangnya dan sentiasa mahu mengikut jejak langkah Vettel," katanya.

Sainz hadir di Formula Satu (F1) pada 2015 dengan memandu jentera Toro Rosso.

Dia kemudian berhijrah ke Renault sebelum menyertai McLaren pada tahun lalu yang menyaksikannya meraih penamat keseluruhan terbaik di tempat keenam.

Sainz percaya pengalaman yang diraihnya selama ini dapat membantunya apabila bersama Ferrari musim depan.

"Pastinya amat sukar untuk menggantikan Vettel tapi saya sudah membuktikannya ketika menggantikan Fernando Alonso di McLaren yang mana dia juga juara dunia dua kali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 12:14 PM