BOTTAS memenangi GP Austria. FOTO AFP
BOTTAS memenangi GP Austria. FOTO AFP
AFP

VALTTERI Bottas mengakui dapat mengelak beberapa insiden selain nasib memihak kepadanya ketika memenangi perlumbaan Grand Prix Austria.

Pemandu Finland berusia 30 tahun itu yang bermula di petak pertama buat kali ke-12 dalam kariernya dan ketiga di Litar Red Bull Ring, mendahului dari awal sehingga akhir perlumbaan untuk meraih kemenangan peribadi kali kelapan.

"Memenangi perlumbaan Grand Prix Formula Satu bukan mudah tetapi hari ini tidaklah semudah yang disangka," katanya yang dibayangi rakan sepasukan dan juga juara dunia enam kali, Lewis Hamilton yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

"Pada awal perlumbaan, Lewis kehilangan masa kerana berdepan cabaran Red Bulls, jadi di situ saya dapat menjarakkan kedudukan.

"Saya dapat mengawal situasi dan memastikan kami berhenti dengan tepat. Saya cuba mengawal tayar dan jentera dengan baik.

"Kemudian saya berdepan tekanan kerana mahu pastikan dapat menamatkan perlumbaan sehingga pusingan terakhir.

"Namun timbul beberapa isu teknikal yang rosak akibat gegaran," katanya.

Bottas juga memenangi perlumbaan pembuka tirai di Australia pada tahun lalu tetapi terpaksa menunggu lebih lama pada musim ini selepas saingan ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

"Banyak rintangan yang dihadapi tetapi saya berjaya mengelak daripada terbabit dengan semua insiden dan kemudian mencatatkan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:06 AM