KHALIL (kiri) antara pemain import Tok Gajah musim ini. FOTO FB Pahang FA
KHALIL (kiri) antara pemain import Tok Gajah musim ini. FOTO FB Pahang FA
Asrol Awang


DUA pemain import Pahang, Khalil Khamis dan Adam Reed dijangka kembali menyertai skuad itu dalam tempoh terdekat.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sedang berurusan dengan Jabatan Imigresen.

"Kita jangkakan Khalil dari Lubnan dan Reed (Filipina) akan bersama pasukan secepat mungkin sebaik segalanya urusan selesai dan kembali menjalani latihan bersama rakan pasukan," katanya.

Khalil dan Reed, masing-masing bermain di posisi pertahanan dan tengah antara lima pemain import baharu yang menyertai skuad Tok Gajah musim ini.

Tiga lagi pemain import Pahang musim ini ialah Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Herolhd Goulon (Perancis) dan Ivan Carlos (Brazil).

Sementara itu, Mohammed Suffian mengesahkan skuad kendalian Dollah Salleh sudah diberi kebenaran menjalani latihan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemain dapat memberi komitmen tinggi untuk meletakkan skuad itu pada prestasi terbaik seperti yang dipersembahkan sebelum saingan Liga M ditangguhkan, Mac lalu.

"Saya percaya sebagai pemain profesional, mereka akan dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka sebelum saingan Liga M bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 2:56 PM