Franck Ribery
Franck Ribery
AFP

MASA depan Franck Ribery di Serie A mula menjadi tanda tanya selepas rumah pemain Fiorentina itu dipecah masuk.

Ribery memuat naik gambar situasi yang dihadapinya ketika pulang ke rumah di Florence selepas kelabnya menang di Parma.

"Saya pulang ke rumah di Itali di mana saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier selepas tahun yang gemilang di Bayern Munich, dan ini apa yang saya hadapi," kata pemain 37 tahun itu di Twitter.

Ribery mendakwa isterinya kehilangan barang kemas dan beg tangan, tetapi kesan paling utama adalah terkejut, perasan seperti ditelanjangkan, seluar dilondehkan dan sukar terima kejadian itu.

Selepas karier gemilang dengan juara Bundesliga, Ribery menyertai FIorentina tahun lalu.

Kini masa depannya di Itali semakin kabur selepas insiden yang mampu mengancam nyawa dan keluarganya.

"Nasib baik isteri dan anak-anak saya berada di Munich tetapi bagaimana anda boleh rasa selamat jika seperti ini.

"Bagaimana saya boleh rasa tenang selepas ini. Saya bukan kejar jutaan ringgit... tetapi saya hanya mengejar bola kerana itu minat saya.

"Namun keluarga lebih penting daripada minat saya dan kami akan mengambil keputusan sewajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 12:27 AM