Lailin Abu Hassan
Lailin Abu Hassan
BERNAMA

SKUAD hoki remaja wanita negara perlu melalui latihan asas sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menjalani latihan intensif bagi menghadapi Kejohanan Piala Remaja Wanita Asia 2020.

Ketua Jurulatihnya, Lailin Abu Hassan berkata biarpun semangat anak didiknya membara untuk menyertai kejohanan itu, beliau tidak mahu terburu-buru menjalani latihan keras, sebaliknya mahu kekal tenang dan mengatur rancangan terbaik.

Selepas berehat lebih tiga bulan setengah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan Covid-19 di negara ini, akhirnya pasukan remaja wanita negara akan memulakan misi mereka untuk berada di kelompok tiga pasukan terbaik pada Piala Remaja Wanita Asia 2020.

Kesemua 25 pemain sudah mendaftarkan diri untuk kembali ke kem latihan sejak Ahad.

"Apa yang saya lihat selepas satu sesi latihan pada semalam, mereka nyata bersemangat untuk menghadapi kejohanan yang juga merupakan kelayakan bagi aksi Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang dijadualkan berlangsung di Afrika Selatan.

Tidak dinafikan selepas tiada latihan di padang sekian lama, mereka macam agak janggal.

Pukul bola pun macam lari sikit. Tapi kita kena faham, tidak boleh paksa mereka teruk sangat," katanya.

Beliau berkata anak buahnya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk mereka kembali mendapatkan rentak seperti sebelum ini.

Tahap kecergasan pemain juga akan dinilai terlebih dahulu sebelum beliau merancang sebarang program latihan yang sesuai dengan intensiti sederhana bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

Katanya, beliau akan lebih memberikan tumpuan kepada kemahiran asas hoki dan akan memastikan sesi latihan yang dijalankan tidak membabitkan sebarang sentuhan badan antara pemain.

Skuad hoki remaja negara diberikan tugas untuk meraih slot secara automatik ke Piala Dunia Remaja Wanita dengan berada di kelompok tiga pasukan terbaik pada Piala Remaja Wanita Asia 2020.

Piala Remaja Wanita Asia 2020 yang dijadualkan dari 6 hingga 12 April lalu di Kakamigahara, Jepun ditunda ke satu tarikh yang belum diputuskan berikutan penularan Covid-19.

Kemungkinan tarikh baharu adalah sebelum 31 Disember 2020 kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menetapkan semua pengesahan kelayakan ke Piala Remaja Dunia 2021 adalah pada akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:25 PM