DR Amar berkata pembayaran gaji akan diselesaikan Jumaat ini. FOTO Danial Saad
DR Amar berkata pembayaran gaji akan diselesaikan Jumaat ini. FOTO Danial Saad
Firdaus Hashim


MASALAH teknikal membabitkan pengeluaran wang menyebabkan seluruh pasukan Liga Perdana, Pulau Pinang tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun ia akan diselesaikan selewat-lewatnya Jumaat ini dengan kesemua tunggakan selama tiga bulan dari April, Mei dan Jun akan dijelaskan kepada pemain skuad Harimau Kumbang itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah mengakui wujud kelewatan pembayaran gaji namun mengesahkan ia akan diselesaikan secepat mungkin.

"Ada sedikit masalah teknikal di peringkat dalaman. Duit (untuk bayar gaji pemain) itu ada cuma ia sedikit lewat.

"Kita akan selesaikan Jumaat ini dengan membayar kesemua tunggakan tiga bulan hingga Jun kepada pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, tular di laman sosial pasukan Pulau Pinang masih tidak membayar gaji pemainnya selama tiga bulan.

Ia sememangnya mengejutkan ketika skuad kendalian Manzoor Azwira dilihat tenang meneruskan latihan sejak minggu lalu selepas dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk semua pasukan menjalani semula latihan yang dijalankan secara tanpa sentuhan.

Sebelum ini, dua pasukan di Utara turut terpalit dengan isu tunggakan gaji termasuk pasukan Kedah yang dilaporkan gagal membayarnya sejak April lalu.

Ujar Dr Amar lagi, beliau mengakui kelewatan gaji itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi emosi pemain yang terganggu ekoran ketiadaan wang.

"Saya faham, pemain main bola untuk dapatkan gaji. Memang ia sedikit menganggu mereka, tapi saya harap selepas kita bayar nanti motivasi pemain akan kembali meningkat lebih-lebih apabila liga dijangka sambung tak lama lagi," katanya.

Saingan Liga Malaysia yang tertangguh sejak Mac lalu ekoran pandemik Covid-19 dijadualkan bersambung semula pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:04 PM