PATRIC (kiri) dikesan VAR mengigit tangan Donati. FOTO Agensi
PATRIC (kiri) dikesan VAR mengigit tangan Donati. FOTO Agensi
AFP

PERTAHANAN Lazio, Patric digantung empat perlawanan selepas mengigit pemain Lecce, Giulio Donati ketika mereka tewas mengejut 1-2 dalam saingan Serie A kelmarin.

Pemain kelahiran Sepanyol itu menggigit tangan Donati ketika masa kecederaan sekali gus mengimbau kembali peristiwa Luis Suarez melakukan perkara sama sebanyak tiga kali pada awal kariernya.

Video Bantuan Pengadil (VAR) berjaya mengesan insiden berkenaan dengan Patric langsung tidak protes walaupun dia dilayangkan kad merah.

Pemain berusia 27 tahun itu juga didenda sebanyak 10,000 euro (RM48,351).

Donati berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan selepas digigit dan Patric juga sudah meminta maaf.

"Dia tidak melakukan apa-apa terhadap saya dan terus meminta maaf. Saya juga pernah menjadi emosi jadi saya faham mengapa dia bersikap begitu," katanya.

Kekalahan Lazio yang menduduki tempat kedua memberi ruang buat pendahulu, Juventus untuk memiliki kelebihan 10 mata di persada liga, namun penyandang juara itu melepaskan peluang tumpas 2-4 kepada AC Milan apabila sudah mendahului 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 10:33 AM