AZIZULHASNI (kanan) dan Shah Firdaus ketika ini menjalani latihan di Melbourne. FOTO Owee Ah Chun
AZIZULHASNI (kanan) dan Shah Firdaus ketika ini menjalani latihan di Melbourne. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


TIADA keperluan untuk membawa pelumba basikal negara Azizulhasni Awang dan juga Muhammad Shah Firdaus Sahrom kembali ke tanah air biarpun keadaan di Melbourne kini di bawah perintah berkurung susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Pengarah Bahagian Atlet (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan kedua-dua pelumba negara itu sudah pun mendapat kelulusan untuk terus menjalani latihan di velodrom di bawah bimbingan jurulatih, John Belasley.

Tegas Jefri, gimnasium yang disediakan di rumah Azizul dan Shah Firdaus juga sudah lengkap maka tiada keperluan buat kedua-dua pelumba harapan negara untuk di bawa pulang ke Malaysia.

"MSN sudah berhubung dengan John dan Azizul untuk mengetahui situasi semasa. Keadaan terkawal dan mengikut perancangan John memang tidak perlu untuk balik ke sini. Melbourne ketika ini sama seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pertama tempoh hari.

"Apa yang penting adalah kebenaran untuk menggunakan velodrom dan itu sudah menyelesaikan separuh daripada masalah di sana," katanya.

Menurut apa yang dimaklumkan oleh Beasley, Jefri menjelaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan dan ia akan kembali seperti biasa mengikut keadaan semasa.

Kelmarin pelumba yang dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' memuat naik rakaman di Instagram berkongsi perkembangan berhubung situasi terkini di Melbourne.

Azizul turut mengalu-alukan mereka yang ingin bertanyakan atau mengetahui keadaan terkini di sana boleh meninggalkan soalan di ruangan komen.

Terdahulu Melbourne dikenakan perintah berkurung tahap tiga selama enam minggu bermula, tengah malam kelmarin selepas negeri Victoria dilanda gelombang kedua penularan Covid-19 dengan 191 kes baharu direkodkan semalam, jumlah kes tertinggi dalam sehari sejak penularan pandemik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:28 PM