X
FEDERER berharap mampu kembali pada 2021 walaupun usianya mencecah 40 tahun. FOTO AFP
FEDERER berharap mampu kembali pada 2021 walaupun usianya mencecah 40 tahun. FOTO AFP
AFP

ROGER Federer, yang akan berusia 39 tahun bulan depan, berharap dapat beraksi sekali lagi di hadapan penonton tatkala dia meletakkan sasaran untuk kembali ke gelanggang selepas sembuh kecederaan lutut tahun depan.

Sejak mengalahkan musuh tradisi Rafael Nadal dalam perlawanan pertunjukkan di Cape Town Februari lalu, di depan 52, 000 penonton, Federer tidak beraksi selepas melakukan pembedahan lutut hujung bulan itu.

Dia melakukan satu lagi pembedahan di lutut kanan bulan lalu namun berharap mampu kembali pada 2021 walaupun usianya mencecah 40 tahun Ogos tahun depan.

"Saya mahu kembali dengan lebih cergas. Kita akan lihat berapa lama ia boleh bertahan," katanya kepada akhir mingguan Jerman, Die Zeit.

Pemain kelahiran Switzerland itu berkata, dia sangat merindui aksi tenis sejak pandemik Covid-19 menular sehingga membabitkan aksi sukan antarabangsa ditangguh.

"Pada awalnya ia tidak seperti ini. Sebenarnya kami tidak boleh buat apa-apa, kami hanya berasa lega tidak mengalami masalah kesihatan dan begitu juga kawan-kawan serta keluarga. Bagaimanapun, sekarang kami sudah rindu aksi tenis dan beraksi di stadium yang penuh," katanya.

Selepas sepanjang karier meraih lapan kejuaraan Wimbledon dengan keseluruhan 20 trofi Grand Slam, dengan kali terakhir pada Terbuka Australia 2018, Federer mula menyedari kariernya sudah semakin di penghujung.

"Saya akan lebih merinduinya apabila bersara," katanya sambil berharap penonton dibenarkan kembali ke stadium walaupun berdepan krisis Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 12:28 PM