BARCELONA dan Bayern Munich akan bertemu di suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) jika melepasi saingan masing-masing berdasarkan undian lapan terakhir hari ini.
Kedua-dua pasukan masih perlu mengharungi saingan 16 terakhir, ketika Bayern hampir pasti mengesahkan tempat selepas kemenangan 3-0 ke atas Chelsea di gelanggang lawan pada perlawanan pertama.
Sementara Barcelona dijadualkan menerima kunjungan Napoli selepas seri 1-1 di Itali.
Sementara itu, jika Manchester City mampu melepasi saingan 16 terakhir berdepan Real Madrid, skuad kendalian Pep Guardiola akan bertemu Juventus atau Lyon di peringkat suku akhir.
City menang 2-1 di Madrid pada aksi pertama Mac lalu, manakala Juventus perlu merubah defisit 0-1 dari aksi pertama berdepan Lyon.
Selepas penangguhan berikutan pandemik Covid-19, saingan perlawanan kedua 16 terakhir dijadualkan bermula pada 7 dan 8 Ogos ini.
Pemenang akan melangkah ke kelompok lapan terbaik, yang berlangsung unik secara kalah mati di Lisbon berikutan Covid-19.
Undian lain menyaksikan empat pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik.
RB Leipzig yang menyingkirkan Spurs sebelum ini akan berdepan pasukan yang mengetepikan juara bertahan, Liverpool, Atletico Madrid manakala Paris Saint Germain (PSG) bertemu Atalanta.
Undian suku akhir Liga Juara-Juara
Real Madrid/Manchester City mln Lyon/Juventus
Leipzig mln Atletico Madrid
Napoli/Barcelona mln Chelsea/Bayern Munich
Atalanta mln Paris Saint-Germain
(Aksi berlangsung 12 hingga 15 Ogos di Lisbon)
Undian separuh akhir
Real Madrid/Manchester City/Lyon/Juventus mln Napoli/Barcelona/Chelsea/Bayern Munich
Leipzig/Atletico Madrid mln Atalanta/PSG
(Aksi 18 dan 19 Ogos)
Final - 23 Ogos
Semua perlawanan di Lisbon.