X
BOLT menyatakan kesediaan untuk keluar daripada persaraan jika diminta oleh Mills. FOTO Agensi
BOLT menyatakan kesediaan untuk keluar daripada persaraan jika diminta oleh Mills. FOTO Agensi
AFP

RAJA pecut Jamaica, Usain Bolt memberi bayangan mungkin akan keluar daripada persaraan sekiranya bekas jurulatihnya, Glen Mills meminta berbuat demikian.

Pemegang rekod dunia acara pecut 100 meter (m) dan 200m serta pemenang lapan pingat emas di Sukan Olimpik itu memberitahu majalah Variety bahawa dia tidak mempunyai perancangan untuk kembali beraksi.

Bagaimanapun bintang berusia 33 tahun itu berkata, dia mungkin sekurang-kurangnya akan kembali jika Mills memintanya berbuat demikian.

"Jika jurulatih kembali kepada saya dan memberitahu 'ayuh lakukannya', saya akan kembali beraksi kerana saya sangat mempercayainya.

"Jadi saya tahu jika dia berkata 'kita akan melakukan perkara ini', maka ia memang boleh dilakukan. Hubungi Glen Mills dan saya akan kembali semula," katanya.

Bolt yang kali terakhir beraksi di pentas antarabangsa pada Kejohanan Dunia di London tiga tahun lalu yang menyaksikannya meraih pingat gangsa menerusi acara 100m berkata, dia tidak pernah kembali ke trek selepas itu.

"Jurulatih saya pasti sangat gembira jika saya kembali ke trek, jadi lebih baik saya menjauhkan diri dari trek," katanya.

Sementara itu Bolt berkata, dia sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai bapa selepas menyambut cahaya mata baharu Mei lalu hasil hubungan dengan pasangannya, Kasi Bennett.

Jelas Bolt, menjadi seorang bapa lebih sukar berbanding memecahkan rekod dunia.

"Saya jatuh sakit pada minggu pertama kerana takut tertidur, jadi saya berjaga sepanjang malam hanya kerana mahu menjaga anak saya.

"Saya adalah seorang yang suka tidur tetapi kini saya belajar perlu bangun tidak kira apa juga berlaku. Saya semakin dapat menyesuaikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 9:20 AM