MOURINHO (kanan) yakin mampu membantu Spurs memenangi trofi. FOTO AFP
MOURINHO (kanan) yakin mampu membantu Spurs memenangi trofi. FOTO AFP
Agensi

JOSE Mourinho yakin mampu menghadiahkan trofi di Tottenham dan tidak berasakan kelab perlu berbelanja besar pada pintu perpindahan pemain.

Mourinho yang dilantik selaku pengurus November lalu, mempunyai kontrak selama tiga tahun dan percaya sepanjang tempoh itu beliau mampu membantu kelabnya menjulang trofi sejak kali terakhir memenangi Piala Liga pada 2008.

Spurs akan melayan kunjungan Arsenal pada pertemuan setempat Utara London esok dengan kedua-dua pasukan sedang memburu slot ke Liga Europa.

"Berapa lama diperlukan Jurgen Klopp dan Liverpool? Empat tahun, empat musim.

"Membeli salah seorang penjaga gol terbaik di dunia, membeli antara pertahanan terbaik di dunia dan seterusnya.

"Saya pula fokus kepada kontrak selama tiga tahun. Saya percaya sepanjang tiga tahun ini kami mampu memenangi trofi. Jika kami gagal, tetapi kelab dapat melakukannya semasa era baru, saya sudah cukup gembira," katanya.

Tottenham membelanjakan lebih £100 juta (RM539 juta) pada musim panas lalu termasuk rekod perpindahan membawa Tanguy Ndombele yang hanya melakukan dua penampilan selaku pemain gantian sejak liga bersambung.

"Saya bekerja untuk kelab. Saya tidak memikirkan soal diri sendiri.

"Saya sering katakan bahawa motivasi tetap sama, begitu juga dengan DNA saya. Tetapi mungkin saya berada di tahap di mana sudah tidak terlalu melihat kepada diri sendiri dan rekod saya, tetapi lebih beri tumpuan kepada kelab," kata Mourinho.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 10:57 AM