KEJOHANAN Wimbledon dibatalkan pada tahun ini kerana Covid-19. FOTO Agensi
KEJOHANAN Wimbledon dibatalkan pada tahun ini kerana Covid-19. FOTO Agensi
AFP

KEJOHANAN Wimbledon menerima pujian selepas penganjur bersedia menyumbangkan hadiah kemenangan bernilai £10 juta (RM53,888,000) kepada 620 pemain yang sepatutnya mengambil bahagian di kejohanan itu tetapi kemudian terpaksa dibatalkan.

All England Club berkata, berdasarkan kedudukan ranking dunia, 224 pemain yang sepatutnya beraksi di peringkat kelayakan, setiap daripada mereka akan menerima £12,500 (RM67,000) manakala 256 pemain yang sepatutnya beraksi di saingan utama acara perseorangan, akan memperoleh £25,000 (RM134,000).

"Berita yang amat menakjubkan. Sentiasa berada di kelas tersendiri dan memimpin sukan ini. Tahniah @Wimbledon, tak sabar untuk kembali pada tahun depan," tulis bekas pemain nombor satu dunia dan pemenang empat kejuaraan utama, Kim Clijsters menerusi akaun Twitter miliknya.

Wimbledon yang sepatutnya berlangsung minggu ini, dibatalkan pada April lalu buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua berikutan krisis Covid-19.

"Kami tahu situasi selama beberapa bulan lalu membimbangkan pemain. Banyak yang mengalami masalah kewangan sepanjang tempoh ini dan sepatutnya berpeluang memenangi hadiah kemenangan di Wimbledon berdasarkan kepada kedudukan ranking dunia mereka," kata Ketua Eksekutif All England Club, Richard Lewis.

"Kami ingin mengumumkan bahawa polisi insuran kami membolehkan untuk menilai impak pembatalan kejohanan kepada pemain.

"Kini kami akan menawarkan pembayaran kepada semua sebagai tanda penghargaan atas kerja keras yang dilakukan bagi memperbaiki kedudukan ranking masing-masing untuk memastikan layak beraksi di The Championships 2020.

Pihak penganjur juga akan memberikan sumbangan kewangan kepada barisan pegawai dan empayar antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 12:27 PM