ROSSI dijangka akan menandatangani kontrak selama dua musim bersama Petronas Yamaha SRT. FOTO FB Valentino Rossi
ROSSI dijangka akan menandatangani kontrak selama dua musim bersama Petronas Yamaha SRT. FOTO FB Valentino Rossi
Agensi

VALENTINO Rossi bersedia meneruskan karier di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bersama pasukan Petronas Yamaha SRT dengan juara dunia sembilan kali itu dijangka akan mengumumkan persetujuan kontrak selama dua tahun pada pusingan pembuka tirai di Jerez minggu depan.

Rossi dikaitkan dengan pasukan satelit dari Malaysia itu sejak beberapa bulan lalu selepas pandemik Covid-19 menjejaskan peluangnya untuk menguji kemampuan diri serta jentera Yamaha M1 2020.

Sebelum itu Rossi berkata dia memerlukan masa untuk beberapa pusingan perlumbaan musim ini bagi membuat keputusan berhubung masa depannya.

Menariknya Rossi dijangka akan menandatangani kontrak selama dua musim bersama Petronas Yamaha SRT dengan sasaran untuk kekal berlumba sehingga penghujung musim 2022 dan usianya ketika itu mencecah 43 tahun.

Bos Yamaha, Lin Jarvis sudah menyatakan sokongan penuh kepada Rossi sekiranya dia mahu terus berlumba apabila berkata ruang dan peluang sentiasa terbuka untuk pelumba legenda itu.

"Ketika kami yakin dengan kemampuan dan kepantasan Rossi untuk musim ini, pada masa sama Yamaha juga perlu mempunyai perancangan untuk masa depan.

"Dengan enam jentera pasukan pengeluar di kelas MotoGP, khidmat pelumba muda menjadi keutamaan.

"Memang agak pelik apabila Rossi tidak bersama pasukan pengeluar pada 2021, tetapi Yamaha masih bersamanya dan melihat apa saja keputusan demi masa depannya," katanya.

Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali sebelum ini berkata, hanya dua krew Rossi akan dibenarkan menyertai pasukan itu dengan yang lain bakal bekerja bersama Fabio Quartararo yang menggantikan tempat Rossi dalam pasukan pengeluar, Yamaha MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 3:29 PM