X
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyerahkan jersi Terengganu kepada Favlain.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyerahkan jersi Terengganu kepada Favlain.
Syazwan Msar


TERENGGANU membuktikan penyertaan mereka tidak seharusnya dipandang remeh apabila berjaya muncul juara Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL).

Ia susulan berjaya mengumpul jumlah mata tertinggi dalam 22 perlawanan secara keseluruhan.

Muhammad Faiz Hariry atau Favlain tidak tewas dalam dua perlawanan apabila memperoleh satu kemenangan dan satu seri untuk mengumpul 42 mata secara keseluruhan.

Pencabar terdekatnya iaitu Muhammad Imran Burhanudeen atau Imrandeen (Kedah) dan Luqman Haziq Hajiman (Johor Darul Ta'zim) pula gagal memintas kedudukan pendahulu milik Favlain.

Luqman yang pada mulanya berada di takhta liga nampaknya terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila memperoleh keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir manakala Imrandeen di tempat kedua apabila mencatat satu kemenangan.

Pemain berusia 22 tahun itu pada mulanya tidak menjangka dapat memenangi kejohanan berkenaan kerana sedar dia tidak bermula dengan agak baik pada awal kejohanan sehinggalah berjaya untuk terus perbaiki kedudukan sehingga ke hari terakhir perlawanan.

Namun, Favlain tetap menyifatkan saingan eMFL ini begitu mencabar untuknya kerana setiap pemain mempamerkan aksi yang sukar dijangka dan sesiapa sahaja mampu untuk melakar kejutan walaupun pemain itu berada di kedudukan tercorot sekali pun.

"Memang saya tak sangka langsung dapat menang kejohanan ini kerana kalau nak ikutkan pasukan yang saya main, tidak sehebat pasukan-pasukan pemain lain.

"Tetapi, apabila saya berjaya untuk berada di kelompok empat terbaik pada pertengahan musim, saya rasa inilah peluang saya untuk terus bekerja keras mengumpul mata sehinggalah ke hari-hari terakhir perlawanan.

"Pencabar-pencabar lain juga cukup sengit dan setiap perlawanan memang bukan mudah untuk saya harungi," katanya.

Kali pertama kejohanan e-sukan di bawah penganjuran MFL dengan kerjasama Gamesbond Esports Sdn Bhd diadakan adalah saingan ePiala Malaysia pada tahun lalu menyaksikan Terengganu FC yang diwakili Luqman muncul juara.

Malah wakil Pantai Timur itu sekali lagi muncul juara di kejohanan sulung eMFL kali ini menerusi penyertaan Favlain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 8:46 PM