X
REAKSI Guardiola (kiri) ketika bertemu Brighton. FOTO AFP
REAKSI Guardiola (kiri) ketika bertemu Brighton. FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola percaya Manchester City berhak untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan ketika kelab itu menanti sama ada penggantungan selama dua tahun daripada beraksi di saingan Eropah akan dikekalkan atau sebaliknya.

City dikenakan hukuman penggantungan selama dua musim oleh UEFA, Februari lalu selepas melanggar peraturan 'fair-play' kewangan antara 2012 sehingga 2016.

Namun kelab itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan yang akan diketahui esok.

Di atas padang, City memastikan mereka dapat menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik liga apabila hatrik Raheem Sterling membantu kelab itu mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Brighton, hari ini.

"Hari ini kami menerima cabaran besar iaitu untuk layak secara automatik ke Liga Juara-Juara.

"Kami berhak untuk beraksi di saingan itu kerana kami mencatat kemenangan di atas padang. Harap pada Isnin nanti UEFA akan membenarkan kami untuk beraksi," kata Guardiola.

Untuk kali keempat daripada enam perlawanan terakhir, City menjaringkan empat atau lebih gol sekali gus menyaksikan mereka ketinggalan 21 mata di belakang Liverpool yang sudah disahkan juara liga.

Bagaimanapun mereka masih berpeluang menamatkan musim ini dengan kejuaraan treble apabila bertemu Arsenal pada aksi separuh akhir Piala FA minggu depan sebelum kembali beraksi di Liga Juara-Juara, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 9:21 AM