ALONSO bakal kembali ke Formula Satu bersama Renault musim depan. FOTO AFP
ALONSO bakal kembali ke Formula Satu bersama Renault musim depan. FOTO AFP
AFP

RENAULT memilih Fernando Alonso berbanding Sebastian Vettel untuk menggantikan Daniel Ricciardo pada tahun depan kerana tahap motivasinya lebih tinggi dan meyakinkan, kata Alain Prost.

Pemenang empat kejuaraan dunia yang menjadi penasihat kepada pasukan dari Perancis itu berkata, Renault turut mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Valtteri Bottas yang ketika ini bersama Mercedes tetapi lebih memilih Alonso kerana alasan yang sama.

"Terdapat tiga calon pemandu hebat iaitu Alonso, Vettel dan Bottas.

"Motivasi Vettel dilihat kurang jelas. Sukar juga untuk Bottas kerana ketika ini dia mempunyai pakej jentera terbaik.

"Kami mahukan seseorang yang bukannya hadir sebagai sekadar pengganti kepada Ricciardo tetapi lebih kepada mereka yang bermotivasi tinggi," katanya.

Vettel yang akan meninggalkan Ferrari pada hujung tahun ini manakala Bottas yang sedang bersama Mercedes, kedua-duanya ketika ini bersama pasukan gergasi manakala Alonso tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Prost berkata, dia sudah mengadakan perbincangan bersama Alonso berhubung faktor usia dan motivasi dirinya, terutamanya berkaitan laporan kelakuan negatif ketika musim terakhir di McLaren sebelum meninggalkan pasukan itu pada 2018.

"Itulah antara subjek utama perbincangan saya bersamanya dan dia secara terbuka menceritakan segala-galanya.

"Dia berkata sudah berubah dan sejak meninggalkan F1 ia semakin mematangkan dirinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:34 AM