X
MUHAMMAD Sanusi (tengah) bersama Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah (kiri) dan naib presiden, Muhammad Radhi selepas EGM bagi pemilihan jawatan presiden dan naib presiden di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Izzali Ismail
MUHAMMAD Sanusi (tengah) bersama Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah (kiri) dan naib presiden, Muhammad Radhi selepas EGM bagi pemilihan jawatan presiden dan naib presiden di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sah diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA yang berlangsung di Wisma Darul Aman pagi tadi.

Sanusi adalah calon tunggal bagi jawatan presiden yang dipertandingkan pada EGM kali ini sekali gus menyaksikannya memenangi kerusi tertinggi KFA itu tanpa bertanding.

Selain itu, pemain lagenda skuad Hijau Kuning era 80-an dan 90-an, Muhammad Radhi Mat Din turut diumumkan sebagai Naib Presiden KFA yang baharu dimana kedudukannya tidak dicabar selepas tiga calon lain sebelum ini menarik diri.

Bagaimanapun jawatan Setiausaha Kehormat KFA yang lantikannya ditentukan oleh Presiden KFA sendiri, belum diumumkan setakat hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau bersyukur proses lantikan berjalan lancar yang dilakukan oleh 36 ahli gabungan pada EGM kali ini.

"Alhamdulilah, saya sebagai presiden yang dilantik oleh ahli gabungan bagi mengemudi KFA selepas peletakan jawatan presiden yang lama.

"Amanah yang diletakkan kepada saya bagi mengemudi KFA ini sangatlah berat dan ini menjadi nadi dan tunjang kepada rakyat Kedah di mana tidak lengkap tanpa kerjasama yang utuh daripada semua pihak terutama ahli jawatankuasa Eksekutif, ahli-ahli gabungan, staf dan lain-lain bagi memastikan kelancaran pentadbiran bola sepak di negeri Kedah," katanya.

Sanusi yang pernah berada pada era pemerintahan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sewaktu kepimpinan bola sepak sebelum ini berkata, beliau amat memahami kesulitan pada ketika ini ditambah kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri sukan khususnya bolasepak.

"Ekonomi di dunia mengalami kemerosotan dan tidak terkecuali KFA, namun kita perlu tempuh cabaran ini dengan bijak dan saya dengan sokongan daripada semua khususnya ahli eksekutif, ahli-ahli gabungan dan pihak pengurusan KFA, berazam menjalankan amanah ini dengan hikmah bagi menghadapi cabaran akan datang.

"Perkembangan terkini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) amat melegakan selepas penganjuran di Malaysia dibenarkan bermula selepas 15 Ogos depan.

"Saya mengambil peluang mengucapkan setinggi tahniah kepada naib presiden yang baharu dipilih iaitu Radhi Mat Din, yang juga lagenda bolasepak Kedah.

"Semoga pengalaman dan penglibatan beliau yang panjang dalam bola sepak negeri serta pernah terlibat sebagai pemain dan barisan kejurulatihan, mampu digarap bagi meneruskan legasi dan kecemerlangan bolasepak Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:47 PM