WEE Wern mbira dapat kembali ke gelanggang dan menjalani rutin latihan seperti biasa semula. FOTO NSTP
WEE Wern mbira dapat kembali ke gelanggang dan menjalani rutin latihan seperti biasa semula. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


PEMAIN skuasy wanita nombor satu negara, Low Wee Wern akan tetap memberi fokus kepada latihan biarpun belum dimaklumkan sebarang kejohanan yang akan disertai olehnya.

Pandemik Covid-19 yang masih belum menampakkan penurunan dengan beberapa negara seperti Melbourne, Hong Kong, Uzbekistan kembali mengeluarkan perintah berkurung mungkin akan mengakibatkan lebih banyak kejohanan terpaksa dibatalkan.

Mujur keadaan di Malaysia terkawal dengan beberapa sektor sukan sudah dibuka semula termasuk kebenaran meneruskan latihan dan penganjuran kejohanan seperti biasa membabitkan sukan seperti skuasy, bola sepak, bola keranjang, sepak takraw dan lain-lain lagi.

Bagi Wee Wern yang pernah menghuni ranking kelima terbaik dunia satu ketika dulu, dia gembira dapat kembali ke gelanggang dan menjalani rutin latihan seperti biasa semula.

Katanya, selepas sekian lama tidak menjalani latihan mengikut standard sebenar, atlet kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun menegaskan bahawa dia perlu menyertai beberapa pertandingan untuk kembali ke prestasi terbaiknya semula.

"Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah Kejohanan Berpasukan Asia dan juga Kejohanan Wanita Dunia pada hujung tahun ini namun dengan sekatan daripada kerajaan yang masih belum membuka pintu kepada negara luar, ia mungkin mengambil sedikit masa untuk saya kembali ke kemuncak prestasi.

"Saya sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan dalam masa terdekat ini selain meneruskan latihan seperti biasa kerana sirkit profesional juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penganjuran sebarang pertandingan," katanya yang kini menghuni ranking ke-22 dunia.

Kali terakhir atlet berusia 29 tahun itu menyertai pertandingan di luar negara adalah Mac lalu yang mana langkahnya terhenti di pusingan kedua, Terbuka Windy City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:35 PM