TREZEGUET meraikan jaringan pertamanya di Villa Park. FOTO AFP
TREZEGUET meraikan jaringan pertamanya di Villa Park. FOTO AFP
AFP

ASTON Villa menghidupkan peluang untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace.

Pasukan bimbingan Dean Smith sebelum ini ketinggalan tujuh mata dari zon selamat namun dua gol hasil pemain sayap Mesir, Trezeguet membuka peluang buat mereka untuk tidak tersingkir.

Ia adalah kemenangan pertama Villa selepas 11 perlawanan liga, yang menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-18, hanya empat mata dibezakan dengan pasukan keempat terbawah Watford tatkala berbaki tiga perlawanan.

Villa selepas ini akan berdepan Everton, Arsenal dan West Ham dalam tiga aksi terakhir mereka dengan cuba berjuang daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Gol pertama Trezeguet terhasil melalui sepakan percuma Conor Hourihane pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila pemain berusia 25 tahun itu mudah menampan menewaskan Vicente Guaita.

Pada minit ke-58 mereka mengesahkan kemenangan hasil gol kedua Trezeguet apabila menerima hantaran lintang John McGinn.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:51 PM