WARREN dilihat menggalas begnya sendiri. FOTO Agensi
WARREN dilihat menggalas begnya sendiri. FOTO Agensi
AFP

MARC Warren melakar kemenangan pertama selepas enam tahun di Jelajah Eropah dengan kelebihan satu pukulan pada Terbuka Austria di sebalik beraksi tanpa kedi yang gagal dalam ujian Covid-19.

Pemain Scotland itu melakukan dua birdie daripada empat lubang terakhir untuk merangkul kejuaraan pertama sejak 2014 ketika dia memenanginya di Denmark.

Bagaimanapun, kemenangan itu cukup manis kerana Warren terpaksa menggalas begnya sendiri sepanjang empat pusingan selepas kedi pemain itu gagal memenuhi protokol Covid-19 dan dilarang daripada menyertai kejohanan yang berlangsung di Diamond Country Club.

"Menggalas beg sendiri mungkin membantu kemenangan saya. Hanya turun beraksi dan kemudian lihat apa yang berlaku.

"Harap ia berlaku sekali ini sahaja. Saya lebih gemar beraksi dengan ditemani oleh kedi," katanya.

Warren yang memulakan pusingan terakhir dengan terikat di kedudukan pendahulu bersama Nicolai Von Dellingshausen, memulakan aksi dengan melakukan birdie.

Namun selepas tiga birdie dan empat bogey, dia memerlukan kebangkitan di saat akhir untuk mengatasi Marcel Schneider dan Sebastian Garcia Rodriguez.

Schneider mendahului tetapi melakukan bogey di lubang ke-14 ketika Warren melakukan birdie di lubang sama.

Warren kemudian terikat dengan Rodriguez apabila melakukan birdie di lubang ke-17.

Selepas Rodriguez melakukan double bogey pada lubang ke-18, Warren hanya memerlukan par untuk meraih kemenangan dan dia akhirnya berjaya melakukannya.

Warren menamatkan saingan dengan melakukan catatan keseluruhan 13 bawah par 275.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 12:14 PM