X
Pertahanan Real Madrid, Ferland Mendy (tiga kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika mengatasi Granada. FOTO AFP
Pertahanan Real Madrid, Ferland Mendy (tiga kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika mengatasi Granada. FOTO AFP
AFP

REAL Madrid hanya memerlukan satu kemenangan untuk merangkul kejuaraan La Liga selepas berjaya mengekang kebangkitan babak kedua Granada untuk mencatat kemenangan 2-1 pagi ini dan kini empat mata di depan Barcelona.

Berbaki dua perlawanan, Real akan dimahkotakan juara jika dapat menewaskan Villarreal di gelanggang sendiri pagi Jumaat ini tanpa mengira bagaimana kedudukan Barca di Camp Nou berdepan Osasuna.

Namun mereka dipaksa bekerja keras oleh Granada yang memburu peluang beraksi dalam saingan Eropah dan tidak diragui pasukan itu menghasilkan banyak kejutan musim ini selepas hanya naik dari divisyen dua tahun lalu.

Ferland Mendy dan Karim Benzema tampak berada di landasan tepat membawa Real mencipta kemenangan selesa di Los Carmenes namun Granada berubah selepas rehat dan jaringan Darwin Machis pada minit ke-50 memberikan mereka harapan.

Real terpaksa bertahan pada penghujung aksi dan memerlukan Sergio Ramos untuk mengeluarkan satu cubaan di atas garisan ketika skuad kendalian Zinedine Zidane berusaha mengekalkan kemenangan kesembilan berturut-turut.

"Kami tidak boleh berehat, hanya sedikit lagi dan kami perlu meneruskannya," kata Ramos.

"Kami membiarkan kawalan kami sedikit longgar pada babak kedua.

"Kami menang babak pertama tetapi kalah babak kedua dan itu mungkin amaran buat kami. Kami perlu pastikan tidak ulangi kesilapan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:54 AM