Jelajah PGA diteruskan tanpa penonton. FOTO AFP
Jelajah PGA diteruskan tanpa penonton. FOTO AFP
AFP

BAKI Jelajah PGA 2019-2020 dijangka akan dijalankan tanpa penonton ketika Amerika Syarikat masih berjuang dengan peningkatan penularan pandemik Covid-19, menurut pegawai kejohanan.

Dalam pengumuman sama, baki saingan kejohanan yang dijadualkan berlangsung mengikut jadual dijangka turut diteruskan tanpa kehadiran peminat berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Kesemua lima kejohanan yang dianjurkan pada Jun sejak penyambungan semula Jelajah PGA selepas ditangguhkan berikutan Covid-19 dilangsungkan tanpa penonton.

Peminat sepatutnya dibenarkan hadir pada Kejohanan Memorial di Ohio minggu ini tetapi perancangan itu dibatalkan selepas menyaksikan peningkatan semula kes Covid-19.

Pengumuman itu bermakna tiada penonton dibenarkan menyaksikan kemuncak musim, termasuk di siri Kejohanan Jelajah kelayakan Piala FedEx yang dijadualkan berlangsung di Atlanta pada 4-7 September ini.

"Keputusan ini tidak dilakukan dengan mudah," kata Pengarah Eksekutif Kejuaraan Jelajah, Allison Fillmore dalam satu kenyataan menjelaskan tindakan itu adalah 'keputusan terbaik buat semua yang terbabit.'

Dua lagi pusingan kelayakan Piala FedEx pada 20-23 Ogos di Northern Trust dekat TPC Boston dan Kejohanan BMW di Olympia Fields, Illinois, juga terjejas.

Peminat juga tidak dibenarkan hadir pada Terbuka 3M di Blaine, Minnesota minggu depan dan Kejohanan FedEx Golf Dunia Jemputan St Jude di Memphis dari 30 Julai hingga 2 Ogos ini.

PGA Amerika sebelum ini mengumumkan bahawa tiada penonton dibenarkan menyaksikan Kejohanan PGA di Harding Park, San Francisco dari 6-9 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 11:51 AM