Federer (kanan) bersalaman dengan Djokovic. FOTO Agensi
Federer (kanan) bersalaman dengan Djokovic. FOTO Agensi
Agensi

BEKAS pemain nombor satu dunia, Stefan Edberg mengakui dalam tempoh sedekad hanya tiga atau empat pemain yang menguasai pentas kejohanan tenis.

Ia tidak terkecuali trio yang dinamakan 'Big 3' yang membabitkan Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic yang dilihat memonopoli kejohanan Grand Slam.

Kejayaan Stan Wawrinka di Terbuka Amerika Syarikat pada 2016 selain kemunculan Dominic Thiem yang hampir mengejutkan Djokovic di final Terbuka Australian 2020 turut mencuri tumpuan.

"Sejak 10, 12 tahun kebelakangan ini, hanya tiga, empat pemain yang mendominasi perlawanan," kata Edberg kepada Eurosport.

"Sejak akhir-akhir ini tiga pemain dan jika dilihat pada beberapa tahun lalu, mereka memenangi hampir semua Grand Slam. Mereka sangat hebat dalam sukan ini."

‘Big 3’ sukar digugat. FOTO Agensi
‘Big 3’ sukar digugat. FOTO Agensi

Di sebalik rasa kagum terhadap Roger Federer, Novak Djokovic, dan Rafael Nadal, Edberg berkata dia masih menantikan bintang baharu yang mampu menyaingi trio berkenaan dan amat penting mereka dapat menempatkan diri dalam kelompok elit berkenaan.

"Adalah amat baik untuk mempunyai pemenang dikalangan pemain muda yang baharu ketika Novak, Roger dan Rafa masih beraksi.

"Besar kemungkinan pemain muda memerlukan masa kerana perlu menang kejohanan Slam untuk memulakannya dan mungkin perlu menang dua, tiga dan beberapa orang akan mula mengenali mengenai permainan mereka."

Kejohanan Terbuka AS - jika ia dapat dilangsungkan - mungkin memberi peluang terbaik kepada generasi baru mencipta nama.

Pengumuman sudahpun dibuat mengenai ketiadaan Federer dan besar kemungkinan juga Nadal yang akan memberi tumpuan kepada saingan Roland Garros.

Yang pasti cabaran Djokovic tetap hadir ketika dia menjalani latihan di gelanggang tanah liat dan gelanggang keras sejak beberapa hari lalu.

Terbuka AS dijadualkan berlangsung tanpa penonton. Undian pertandingan perseorangan lelaki dan wanita kekal membabitkan 128 pemain tetapi undian acara beregu lelaki dan wanita dikurangkan kepada 32 pasukan.

Tidak akan ada pertandingan membabitkan beregu campuran, kelayakan kejohanan bagi perseorangan atau beregu, kejohanan junior atau kejohanan membabitkan kategori berkerusi roda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 1:07 PM